Wujudkah produk mesra wuduk?
Profesor Dr. Siti Hamidah berkongsi tentang perkara ini untuk pengetahuan semua. Antara hujah-hujahnya adalah:
SUNSCREEN & SOLAT/UMRAH
Bolehkah memakai sunscreen, BB cream/ foundation sewaktu solat/umrah?
Wujudkah produk mesra wuduk?
1. Ramai yang masih keliru mengenai perkara ini. Dengan kedatangan Ramadan beberapa hari lagi, saya ingin berkongsi secara saintifik mengenai perkara ini.
2. Bolehkah kita mencuci sunscreen, BB cream atau apa jua jenis foundation/bedak menggunakan air sahaja tanpa pencuci (surfaktan/sabun)? Jawapannya TIDAK BOLEH.
Dalam sunscreen, BB cream atau apa jua jenis foundation, ia menggunakan bahan asas minyak atau digelar “film former” untuk menjadikan formulasi produk yang sebati, dan juga untuk menjadikan ia tahan lama di kulit. Film former ini hanya boleh ditanggalkan menggunakan surfaktan (bahan pencuci/sabun).
3. Walaupun beberapa jam pakai, masih perlu basuh dengan surfaktan/sabun? YA. Ada sunscreen yang mild (tiada tinted color) yang akan tanggal dari kulit selepas 3-4 jam di kulit. Tapi BB cream, foundation, compact powder, loose powder, BB cushion akan lebih lama di kulit (ada yang claim boleh tahan 24 jam!) kerana adanya bahan kimia sintetik, minyak, dan silikon yang digunakan.
Jadi, memang perlu basuh dengan cleanser jika menggunakan semua produk ini ya. Tidak boleh hanya menggunakan air sahaja.
4. Kalau macam tu bolehkah menggunakan produk ‘Mesra Wuduk’? Yang pertamanya saya sendiri masih tak faham maksud mesra wuduk. Adakah maksudnya mudah dicuci dengan air sahaja? Kerana jika sesuatu produk itu tidak menggunakan silikon pun, ia masih mengandungi bahan berasaskan minyak, yang menjadikan produk itu bersifat “water in oil” yang memerlukan surfaktan/sabun untuk dicuci.
Katakan kita pakai sunscreen/BB cream/foundation/etc yang menggunakan bahan halal. Kita dalam keadaan berwuduk. Niat kita adalah untuk terus solat apabila masuk waktu. Tapi tiba-tiba kita batal wuduk.
Kita tetap perlu mencuci wajah dengan sempurna menggunakan pencuci. Tidak boleh menggunakan air sahaja walupun produk tersebut claim mesra wuduk dan halal. Kerana produk tersebut melekat di kulit kita yang tidak boleh ditanggalkan oleh air. Apatah lagi kalau kita perlu berwuduk semula selepas beberapa minit memakai produk tersebut disebabkan batal wuduk. Sila berhati-hati.
5. Apatah lagi produk yang claim ada SPF (perlindungan UV). Bahan untuk SPF adalah larut minyak (oil soluble) yang hanya boleh di basuh menggunakan pencuci yang mengandungi surfaktan/sabun.
Bahan SPF ini akan tahan di suhu biasa atas darat 3-4 jam sebelum tertanggal dari kulit, dan 45 minit jika kita berada dalam air (seperti kolam renang dan sungai/laut). Sebab tu mat saleh selepas 45 minit berenang, dia naik ke darat semula untuk pakai sunscreen semula.
6. Produk-produk sunscreen/BB cream/foundation/etc ini selain menjejaskan wuduk, ia juga boleh menyumbat pori jika tidak dicuci dengan baik. Lama kelamaan kulit semakin kusam dan mudah berjerawat.
7. Adakah produk berbentuk krim pelembab pun perlu dicuci dengan pencuci? TIDAK PERLU kerana krim pelembab adalah bersifat “oil in water” Yang hanya ada sedikit fasa minyak yang boleh dicuci dengan air sahaja, manakala semua produk sunscreen/BB cream/foundation adalah “water in oil” yang menggunakan banyak fasa minyak, Apatah lagi jika ada SPF, ia akan lebih kompleks dan perlu dicuci dengan sempurna dengan pencuci bersurfaktan/sabun.
8. Jadi, adalah tidak disarankan untuk menggunakan produk-produk tersebut ketika melaksanakan haji dan umrah. Kecuali kita mampu untuk betul-betul menggunakan pencuci untuk berwuduk dengan sempurna. Jika hanya menggunakan botol spray untuk wuduk, lebih baik elak dari menggunakan sunscreen/BB cream/etc.
9. Jadi macamana nak jaga kulit sewaktu haji/umrah? Pertama sekali, kita perlu faham bahawa rutin skin care kita akan berubah ketika itu. Tak perlu pakai apa-apa di kulit untuk memudahkan mengambil wuduk semula. Apabila ada kesempatan (ketika berehat atau tidur), ketika itulah kita merawat wajah. Pakailah serum dan krim pelembab yang bagus. Apabila sudah tamat haji/umrah, rawatlah semula wajah. InshaaAllah. Jika kulit rosak disebabkan tidak memakai sunscreen dalam tempoh hanya beberapa minggu, tak sukar pun untuk rawat kembali. Yang penting ibadah kita sempurna.
10. Satu kajian terhadap keberkesanan cucian wajah menggunakan AIR SAHAJA terhadap pemakaian sunscreen.
Sisa sunscreen yang masih tertinggal adalah seperti berikut:
Non-waterproof sunscreen = 54% sisa tertinggal.
Waterproof sunscreen = 59% sisa tertinggal.
Maka walaupun produk itu claim non-waterproof, mesra wuduk, halal.. tetaplah berhati-hati kerana kesemuanya perlu dicuci dengan sempurna. Tidak boleh hanya menggunakan air sahaja.
Sekarang, semua produk nak di SPF kan. Sampai lip balm, mist spray, etc pun claim ada perlindungan UV. Yang sebenarnya ia menyebabkan produk itu lebih sukar untuk dibersihkan apabila kita mengambil wuduk.
Semoga bermanfaat. Selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Semoga ibadah kita sempurna dan diterima Allah swt.
Rujukan yang bagus:
https://onlinelibrary.wiley.com/doi/epdf/10.1111/jocd.12995
Tajuk artikel jurnal: The optimal cleansing method for the removal of sunscreen: Water, cleanser or cleansing oil?
DISEDIAKAN OLEH : SHAI
Leave a comment