Isu berkaitan pembersihan wajah selepas pemakaian sunscreen dan solekan sering dibincangkan, namun ia masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna. Persoalan yang kerap timbul ialah sama ada mencuci wajah dengan air sahaja sudah mencukupi selepas menggunakan sunscreen atau foundation.
Secara saintifik, sunscreen dan kebanyakan produk solekan sememangnya mengandungi fasa minyak (oil phase) sebagai komponen penting dalam formulasi. Kehadiran fasa minyak ini diperlukan bagi memastikan kestabilan produk, keberkesanan perlindungan, dan keselesaan pemakaian pada kulit. Oleh itu, adalah hampir mustahil untuk menghasilkan sunscreen tanpa sebarang fasa minyak.
Sebagai perbandingan mudah, jika tangan terkena minyak, air sahaja tidak mencukupi untuk membersihkannya sepenuhnya tanpa bantuan sabun atau bahan pencuci. Prinsip yang sama terpakai pada kulit wajah apabila produk berasaskan minyak masih melekat di permukaan kulit.
Dari sudut ibadah, khususnya dalam memastikan kesempurnaan wuduk, adalah penting untuk memastikan tiada lapisan minyak atau sisa produk yang menghalang air daripada menyentuh kulit secara langsung. Jika sunscreen atau solekan masih berada di kulit dan tidak dibersihkan dengan betul, timbul persoalan sama ada air wuduk benar-benar sampai ke seluruh permukaan kulit.
Penggunaan istilah seperti “mesra wuduk”, “mesra solat”, atau “mudah dicuci” tidak mengubah hakikat bahawa kebanyakan sunscreen, foundation, dan bedak tetap mengandungi fasa minyak yang memerlukan bahan pencuci untuk disingkirkan sepenuhnya.
Oleh itu, sebagai Muslimah, membersihkan wajah dengan sempurna sebelum berwuduk seharusnya dilihat sebagai satu keperluan, bukan bebanan. Pemilihan pencuci wajah atau penanggal solekan yang sesuai dapat memudahkan proses ini, terutamanya bagi mereka yang memakai solekan tebal.
Dari perspektif etika perniagaan, penjual juga perlu mengelakkan dakwaan mengelirukan atau berlebihan. Ketelusan dalam penyampaian maklumat adalah penting kerana ia melibatkan tanggungjawab terhadap ibadah dan kepercayaan pengguna.
KREDIT : PROF. DR. SITI HAMIDAH
DISEDIAKAN OLEH : SHAI